Kali nie aku nak berkongsi satu artikel dari www.iluvislam.com. Artikel nie amatlah berguna n bagus d buat panduan... kalo korang nak baca lebih byk artikel-artikel or nasihat-nasihat berguna boleh laa direct baca kat website ni http://www.iluvislam.com/ or  tabloid iLuvislam edisi ke-52
Pertunangan bermaksud perjanjian yang dibuat oleh pasangan untuk  melangsungkan perkahwinan. Ia adalah satu sunnah yang dituntut dalam  Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada isteri  baginda Aisyah Binti Abu Bakar dan Hafsah Binti Umar. Dengan  berlangsungnya ikatan pertunangan tersebut, maka tergalaslah sebuah  komitmen yang tidak rasmi pada diri seorang lelaki dan wanita yang belum  berkahwin untuk mengenal hati budi masing-masing.
Islam membenarkan pertunangan sebagai cara untuk pasangan yang ingin  berkahwin mengenali bakal isteri dan suami termasuklah ahli keluarga  mereka sama ada dari segi fizikal dan mentaliti. Jadi sudah tidak hairan  lagi pada kita jika ramai pasangan yang bercinta pada hari ini  melangsungkan pertunangan sebelum mereka berganjak ke gerbang  perkahwinan. Tapi silapnya pada masa kini,  fitrah pertunangan ini  sudah menjadi fitnah.
Konsep Pertunangan
Menurut konsep pertunangan dalam Islam yang sebenarnya, sesebuah   pasangan perlu bertunang terlebih dahulu sebelum berkenalan dengan  lebih rapat dengan pilihan hati mereka. Ia tidak lain adalah untuk  menjaga kesucian sebuah perhubungan agar diredhai oleh Allah. Namun,  yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Selepas berkenalan dengan  pasangan masing-masing dan berpuas hati dengan sikap, perangai dan  tingkah laku barulah mereka mengikat tali pertunangan. Ia sekadar  menjadi petanda seseorang itu sudah mempunyai pemilik.
Bertunang tiada bezanya dengan bercinta. Ramai yang tersalah tafsir  dengan adanya ikatan pertunangan, maka mereka mempunyai lesen untuk  berdua-duaan, berpegang-pegangan dan melakukan pelbagai aktiviti  bersama. Sememangnya dalam tempoh bertunang pasangan dibenarkan untuk  mengenali dengan lebih mendalam tentang diri pasangan dan pada waktu  inilah mereka perlu memanfaatkan masa yang ada untuk berkenalan tetapi  kita perlu ingat, jangan sampai ia melanggar syariat yang digariskan  oleh Islam. 
Jauhi Perkara Zina
Kebanyakan umat Islam hari ini menganggap penzinaan itu adalah  semata-mata melakukan persetubuhan haram. Sebenarnya, bukan perbuatan  zina itu sahaja yang dilarang keras tetapi kelakuan dan tindak tanduk  yang mendorong berlakunya perbuatan tersebut. Maksud perkataaan zina itu  luas yang mana meliputi semua aspek perlakuan. Rasulullah SAW bersabda  yang bermaksud, "Zina kedua-dua mata itu memandang perempuan yang  ajnabi, zina kedua-dua telinga itu mendengar, zina kedua-dua tangan itu  menyentuh, zina kedua-dua kaki itu melangkah dan zina hati itu  mengingini dan menangan-angankannya." (Hadis Riwayat Bukhari &  Muslim)
Jelaslah kepada kita semua perlakuan dalam perhubungan antara lelaki  dan perempuan yang sudah akil baligh dan bukan mahram termasuklah yang  sudah bertunang atau tidak, melainkan yang sudah berkahwin adalah dikira  zina. Ia adalah perkara-perkara yang membuka peluang dan menimbulkan  dorongan sekali gus memberi laluan mudah kepada pasangan bertunang untuk  melakukan permulaan zina. Ini kerana, mereka telah meletakkan diri  mereka berdua-duaan di suatu tempat dan seterusnya mendorong melakukan  kemuncak kepada perbuatan yang terkutuk. Apabila berdua, maka akan ada  yang ketiga. Rasulullah SAW telah bersabda, "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan  dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah  syaitan." (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
Ramai Bersubahat
Larangan berdua-duaan dan perlakuan yang membawa kepada perbuatan  zina itu bukan sahaja ditujukan kepada pasangan yang bertunang sahaja  tetapi termasuklah orang-orang sekeliling yang turut terbabit atau  bersubahat. Ramai antara kita yang tidak sedar bahawa mereka secara  tidak langsung terlibat dengan perlakuan yang hampir kepada zina.  Contohnya dalam kalangan ibu bapa yang sengaja membiarkan anak-anak  teruna dan gadis mereka keluar berdua-duaan. Kononnya,  ibu bapa yang  'sporting' dan memberi kebebasan serta kepercayaan kepada anak-anak  mereka.
Kerana ceteknya ilmu agama dan terpengaruh dengan amalan dan budaya  sosial Barat yang moden dan terkini, mereka tidak mahu dipandang kolot  dan dan dilihat alim. Ramai yang menganggap apa yang mereka lakukan itu  adalah perkara biasa dan sudah menjadi tradisi malah selari dengan zaman  moden sekarang ini. Tambahan pula, ada ibu bapa yang sengaja membiarkan  anak-anak berdua-duaan dengan tunang dan kekasih mereka kerana  mengingatkan manisnya zaman percintaan mereka semasa muda dahulu dan  ingin anak-anak mereka merasai nikmat alam percintaan sebagaimana mereka  dahulu.
Bertunang Bukan Tiket Buat Maksiat
Fenomena keruntuhan akhlak yang berlaku dalam kalangan muda mudi  sekarang khususnya yang beragama Islam boleh menyebabkan merebaknya  kelahiran anak luar nikah dan sebagainya. Itu adalah antara bukti-bukti  penerimaan ibu bapa dan masyarakat sekeliling kepada aktiviti  berdua-duaan pada pasangan bertunang. Jangan biarkan diri terhantuk baru  tengadah. Sedarlah, pengaruh budaya barat dalam bidang sosial ini harus  dianggap sebagai virus berbahaya yang merosakkan budaya Islam sekaligus  meruntuhkan kekuatan umat Islam.
Oleh itu, walaupun sudah bertunang, jangan anggap ia sebagai tiket  untuk berdua-duaan dan menghalalkan segala bentuk perhubungan  sebagaimana suami isteri. Pastikan jalinan hubungan cinta itu tidak  melanggar hukum Allah dengan tidak ada pergaulan bebas, tidak  berdua-duaan, tidak mendedahkan aurat, tidak meninggalkan solat dan  sebagainya. Jangan jadikan hubungan tersebut perkara yang melalaikan dan  merugikan. Kita masih belum menjadi hak milik pasangan kita sepenuhnya.  Jagalah maruah agama, diri dan keluarga. Jangan disebabkan racun dalam  percintaan ini disangka baja dan mampu menyuburkan hubungan yang dibina  berkekalan kerana setiap apa yang berlaku berbalik kepada ketentuan  Allah.
Cinta yang suci dan terpelihara pasti akan membawa pasangan yang  sudah bertunang ke gerbang perkahwinan sehingga kemanisannya dan  kebahagiaannya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ketika itulah  fitrah menjadi anugerah.
Tunangan Halalmu Hanya Selepas Nikah! | iluvislam.com + discover the beauty of islam

 










